Wednesday, May 21, 2008

Tanamkan sifat syukur dan tenang

Seronoknya apabila hidup kita dalam keadaan tenang dan bersyukur . Sesungguhnya perasaan itu tak dapat digambarkan dengan kata-kata . Ketenangan yang kita miliki sangat indah . Oleh itu , kita sebagai manusia haruslah bersyukur dengan apa yang kita ada . Kerana apa yang kita ada , belum tentu orang lain ada . Kadang-kadang kita rasa banyak benda tak cukup , kalau dapat sesuatu mesti nak lebih dari itu , nak yang lebih baik dan lebih sempurna . Jadi hidup dan berada lah pada hari ini dan sekarang . Serta merancang dengan apa yang ditangan , bukan yang kita angan-angankan . Namun , yang paling penting adalah merancang dan susun jadual kehidupan kita dengan lebih teratur agar hidup sentiasa tenang dan bermakna ..


Perasaan tidak puas dengan yang telah ada di genggaman memang sudah menjadi lumrah manusia. Namun, pujuklah hati. Belajarlah untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dan sedang kita miliki. Bukankah Allah sudah berjanji, jika kita bersyukur kepada-Nya atas nikmat yang dikurniakan, Dia pasti menambah lagi pelbagai nikmat untuk kita?


Kita sentiasa berasa tidak puas hati dan jarang mensyukuri dengan apa-apa yang kita ada. Belum berkahwin, risau dikata tidak laku. Sudah berkahwin, berkeluh-kesah pula kerana belum menimang cahaya mata. Sudah dapat seorang, kita mahu menambah lagi seorang. Sudah dapat ramai anak, timbul rasa serabut pula dengan karenah anak-anak. Alahai, bilakah agaknya hati kita akan tenang?

Jadi, tepuk dada tanya hati. Mampukah kita memujuk hati agar kembali menghargai apa yang ditakdirkan untuk kita? Mampukah kita berhenti berdukacita terhadap sesuatu yang kita tidak ada? Jika terasa sedih sebab kita tidak mampu membeli kasut baru, insaflah kerana di luar sana, masih ramai manusia yang hatta tidak berkaki langsung.

Jika kita bersedih sebab dilahirkan sebagai anak yatim, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya kita telah terselamat dari dosa menjadi anak derhaka. Jika ketika ini kita belum punya suami, bersyukurlah juga kerana setidak-tidaknya kita tidak akan masuk neraka seperti kebanyakan wanita lain hanya kerana mereka telah menjadi isteri yang tidak tahu bersyukur terhadap suaminya.

Motivasi untuk diri sendiri dan kita bersama ..:)

#ayat ada copypasta kerana saya sangat tersentuh dengan ayat tersebut . Sama-sama lah kita mensyukuri nikmat yang Allah beri .